BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, August 6, 2008

Rindu seorang anak..

Setiap tahun,ada dua tarikh yang membuatkan hati ini sering menjadi sayu..Tarikh yang sentiasa mengingatkan saya kepada seorang wira yang sentiasa bertakhta dalam hati saya.Siapa lagi kalau bukan Allahyarham Ayahanda tercinta.Beliau dilahirkan pada 6 Ogos 1935 dan dipanggil menghadap Ilahi pada 26 Mac 1997..Pada hari ini,izinkan saya berkongsi kisah suka duka bersama ayah tercinta,yang saya rasa amatlah singkat.Saya hanya sempat bersama beliau selama 10 tahun sahaja sebelum ditinggalkan buat selama-lamanya.Sebelum itu,suka saya ingatkan coretan ini hanyalah perkongsian,juga sebagai tanda aprisiasi saya terhadap idola saya.

Saya amat mengagumi insan yang bernama Mohamed bin Abu ini,bukan sahaja kerana beliau adalah ayah saya tetapi banyak lagi faktor lain.Beliau merupakan anak bongsu pasangan Abu dan Alijah, dan dilahirkan dalam keluarga yang serba kekurangan.Beliau kehilangan kasih sayang ibu bapanya sejak kecil lagi.Akan tetapi,itu bukanlah alasan untuk tidak meneruskan hidup.Beliau mempunyai hati yang sangat tabah dan kental dalam meniti kehidupan yang penuh mencabar.Semangat untuk belajar yang sangat tinggi telah mendorongnya berkorban apa sahaja.Beliau menerima upah menggunting rambut untuk menanggung pembiayaan pengajian.Dengan izin Allah,beliau ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke sebuah universiti di India.Enam tahun di sana,berkelana mencari ilmu,beliau menyambung pula pelajaran di Universiti Ain Shams,Mesir selama empat tahun.

Sekembalinya ke tanah air,beliau ditawarkan untuk berkhidmat sebagai pendidik di Kuliyyah al-Lughah Waddin Sultan Abu Bakar,Pekan.Dalam usia 35 tahun,beliau mendirikan mahligai rumah tangga dengan Maziah binti Abdul Malek (ibunda saya).Beliau bermula sebagai guru biasa,sehinggalah menjawat jawatan sebagai pengetua,tetapi beliau masih dengan kerendahan hati.Sebagai pendidik,beliau sangat dihormati oleh anak-anak didiknya.Malah kesannya dirasai hingga hari ini,walaupun beliau telah tiada,kami sekeluarga dimuliakan. Untungnya wajah ahli keluarga saya semuanya seiras,jadi kami mudah dikenali..Bagi saya sendiri,ke mana sahaja saya pergi,pasti menemui anak murid beliau.Bahkan,di Pusat Islam USM ada anak didiknya yang sentiasa mengambil berat kebajikan saya.Mungkin keikhlasan hati menyampaikan ilmu yang menyebabkan beliau dikenang.

Selain itu,ayahanda juga seorang yang perlu dicontohi dalam bersahabat.Saya masih ingat lagi,rumah saya sering dikunjungi oleh sahabat-sahabat beliau.Bukan sahaja rakan-rakan sekerja beliau,tetapi juga mereka yang datang dari Mesir.Beliau juga aktif menyampaikan ceramah kepada masyarakat di sekitar Pahang.Beliau menamatkan perkhidmatan pada 1990.Diringkaskan cerita,Allah memberi ujian yang agak berat,beliau lumpuh sebahagian badan akibat terjatuh dalam bilik mandi.Jadi,sejak itu beliau hanya mampu bergerak menggunakan kerusi roda.Beliau juga menderita penyakit-penyakit lain.Selama tujuh tahun,beliau tidak banyak merungut akan ujian yang Allah berikan,malah lebih banyak bersabar.

Sehinggalah pada 26 Mac 1997 tepat jam 2 petang,yang merupakan detik terakhir beliau bersama kami.Saya masih ingat daripada 11 orang adik-beradik,hanya lima orang yang menyaksikan beliau menghembuskan nafas terakhir.Masih segar juga di ingatan saya bagaimana sukarnya ibu saya menerima khabar sedih itu..Semuanya masih jelas di kotak pemikiran,abang kembar saya pengsan di muka pintu apabila mendengar berita tersebut.Begitu juga dengan adik-beradik yang lain,pelbagai reaksi dapat dilihat.Tetapi,ada yang lebih menyedihkan.Salah seorang abang saya yang belajar di Arab Saudi menerima berita tersebut dua minggu kemudian kerana masalah komunikasi.Saya tidak dapat membayangkan keadaan beliau,tetapi daripada apa yang diceritakan,dia bagaikan hilang arah.Hendak pula mendapat tahunya ketika musim peperiksaan.Kakak saya yang belajar di Jordan pula lebih tenang,mungkin kerana dia baru sahaja bertemu dengan ayah tercinta.Apa pun,kami harus menerima musibah ini dengan tabah.Lumrah kehidupan,tiada yang akan kekal abadi melainkan Yang Esa.

Dalam seribu kepayahan,ibu saya berhempas pulas menyara anak-anak yang masih kecil.Dengan izin Allah,kami semua masih mampu meneruskan hidup sehingga saat ini.Bukan mudah bagi seorang wanita untuk menyara anak yang ramai tanpa seorang insan bernama suami.Tetapi,apakan daya,anak-anak adalah amanah Allah.Maka menjadi kewajipan untuk mendidik kami.

Hari ini,saya berharap ibu dan Allahyarham ayah boleh tersenyum bangga dengan usaha mereka.Kini,giliran kami pula untuk berbakti kepada ibu tercinta.Walaupun kami tahu kami tidak mampu membalas segala jasa pengorbanan ibu,tetapi kami akan berusaha untuk membahagiakan ibu.

Seperti yang telah dinyatakan di awal tulisan saya,coretan ini sekadar satu penghargaan,juga sebagai pengubat rindu.Buat rakan-rakan,anda juga punya wira dan idola masing-masing.Hargailah mereka selagi punya kesempatan,ruang,peluang serta selagi hayat di kandung badan.Lakukan apa sahaja untuk sebuah senyuman di wajah mereka,jangan sesekali biarkan air mata mereka menitis melainkan air mata kegembiraan.

Firman Allah s.w.t :

Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya.Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu,maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan ”ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.
Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah ; ”Wahai Tuhanku,kasihilah mereka berdua,sebagaimana mereka telah mendidik aku waktu kecil”.
(Al Israa’ : 23-24)

Moga kita semua menjadi anak soleh dan solehah yang senantiasa berbakti dan mendoakan kesejahteraan ibu bapa kita.Amiin..

Sabda Nabi s.a.w. (maksudnya): Apabila mati anak Adam, maka putuslah amalannya kecuali daripada tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat dan anak yang soleh yang mendoakan untuknya.

0 comments: