Sedar tidak sedar,Ramadhan al-Mubarak menjengah lagi.Segala puji dan syukur dirafa’kan kepada Allah atas peluang keemasan yang dinanti-nantikan saban tahun.Uniknya,Ramadhan tahun ini jatuh sehari selepas sambutan kemerdekaan Malaysia tercinta.Saya tertunggu-tunggu juga,adakah method sambutan kemerdekaan tahun ini masih sama seperti tahun-tahun yang lepas.Alangkah malangnya,jika konsert-konsert yang menjadi salah satu medan perosak anak-anak muda masih dianjurkan.Bukanlah suatu perkara yang retorik jika sambutan kemerdekaan kali ini dibuat sedikit kelainan.Jika setiap tahun rakyat Malaysia dihidangkan dengan hiburan melampau,apa kata tahun ini kita beramai-ramai menunaikan solat hajat dan bacaan Yasin sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada pejuang kemerdekaan Negara Malaysia tercinta.Moga ia menjadi titik tolak kepada perubahan yang saya pasti membawa manfaat kepada pelbagai pihak.
Kita tinggalkan kisah sambutan kemerdekaan,jujurnya,rasa berdebar di hati tatkala mengenangkan peluang untuk sekali lagi berada dalam Universiti Ramadhan ini.Bukan apa,terfikir juga adakah cukup persediaan yang dibuat dalam bulan-bulan (terutama Syaaban dan Rejab) yang lepas.Para sahabat Rasulullah berusaha bersungguh-sungguh menyucikan diri sebelum bertemu Ramadhan.Tetapi diri ini masih banyak yang kurang.Namun begitu,saya ingatkan diri ini agar menjadikan semua itu sebagai pengajaran dan kuatkan semangat dan azam untuk merebut pelbagai tawaran hebat dalam bulan yang penuh keberkatan dan kenikmatan beramal ini.
Suka saya ingatkan,puasa bukan sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga,akan tetapi ia sebenarnya lebih daripada itu.Puasa berupaya mendidik jiwa agar sentiasa sabar,membina ketahanan diri,memantapkan iman seterusnya menyemai sifat bersyukur atas segala nikmat kurniaan Allah.Kadang kala lebih baik ditimpa ujian sebegini kerana fitrah insani akan kembali kepada Penciptanya ketika susah.Walhal ketika diri enak dalam kesenangan,Tuhan sering sahaja dilupakan.
Peluang untuk ‘overhaul’ diri ini hanya datang sekali setahun,maka gunakanlah ia sebaik -baiknya.Mungkin bagi sesetengah daripada kita,kekangan masa menjadi masalah.Mana mungkin kita mampu berteleku di tikar sembahyang sepanjang hari sedangkan kita juga punya tanggungjawab lain.Tetapi,ingatlah Allah telah menyediakan waktu bonus iaitu di sepertiga malam.Sayangnya jika kita selalu alpa pada waktu yang makbul itu.Janganlah kita terlepas bonus hebat ini hanya kerana kita lena dibuai mimpi indah di malam hari.Mungkin bagi pelajar seperti saya risau masa tidur akan terganggu,tetapi sebenarnya masa tersebut adalah masa terbaik untuk murajaah pelajaran.Jangan khuatir kerana memang adat orang berjuang tidak selalunya manis dan indah.
Dalam bulan yang mulia ini,basahkan lidah dengan zikrullah dan dampingilah warisan teragung (al-Furqan) senantiasa.Semoga dalam diri kita semua mengalir darah yang sebati dengan zikir kalimah Allah.Ambillah seberapa banyak masa pun untuk berbicara dengan Allah yang Maha Penyayang dan Maha Pemurah.Dia yang menciptakan kita maka saya pasti Dialah yang Maha Arif apa yang terbaik untuk kita semua.Telah dinyatakan bahawa memasuki bengkel Ramadhan adalah sangat baik,maka yakinlah bahawa janji Allah sentiasa benar.
Tiada lain yang saya harapkan melainkan bertambahnya rasa kasih dan sayang terhadap Pemilik CINTA dan moga Ramadhan kali ini lebih baik berbanding tahun-tahun lalu.