Semenjak beberapa hari ini, saya ketandusan ide untuk menulis (~dh selalu dh mcm ni). Hanya rajin membaca di blog-blog teman. Baru-baru ini kita digemparkan dengan peristiwa baling kasut oleh seorang wartawan Iraq, Muntazer al-Zaidi kepada Bush. Setiap kejadian pasti ada hikmah atau makna yang tersirat yang hanya dapat diketahui oleh orang-orang yang berfikir. Saya tidaklah pandai untuk mengulas hal ini, jadi saya mengambil petikan daripada artikel yang dikeluarkan oleh Berita Harian untuk dikongsi bersama.
"Peristiwa ini ada persamaannya dengan peristiwa berlaku pada zaman Nabi Musa AS dengan pelakonnya adalah seorang intelektual bernama Samiri.
Melalui kepandaian dan kelicikan Samiri, Bani Israil dikelaburi hingga mereka melupakan nabi mereka dan kemudian menyembah patung seekor anak lembu yang dibuat daripada leburan perhiasan yang dicampur dengan ‘tanah keramat’.
Peristiwa itu dikisahkan dalam al-Quran yang bermaksud: “(Setelah selesainya urusan itu) maka Allah berfirman kepada Nabi Musa: “Sesungguhnya Kami sudah mengenakan kaummu satu fitnah ujian sepeninggalanmu, dan mereka telah disesatkan oleh Samiri. (Surah Taha: 85)
Apakah kesesatan yang dibuat oleh Samiri? Al-Quran memperincikan dengan ayat berikut: “Kemudian Samiri mengeluarkan untuk mereka dari leburan barang-barang itu (patung) seekor anak lembu yang bertubuh lagi bersuara, lalu mereka berkata: ‘Ini ialah tuhan kamu dan tuhan bagi Musa, tetapi Musa telah lupa!” (Surah Taha: 88)
Kesesatan mereka daripada ajaran Nabi Musa yang sedang pergi berjumpa Allah adalah akibat tindakan Samiri yang diberitakan al-Quran dengan ayat bermaksud: “Mereka menjawab: “Kami tidak menyalahi janji kami kepadamu itu dengan kuasa dan ikhtiar kami, tetapi kami telah dibebankan membawa barang perhiasan orang-orang (Mesir) itu, supaya kami mencampakkannya ke dalam api lalu kami melakukan yang demikian, maka demikianlah juga Samiri mencampakkan apa yang dibawanya.” (Surah Taha: 87).
Dalam ulasan mengenai ayat ini, Tafsir Pimpinan Arrahman menyatakan: “Ketika mereka (Bani Israil) tinggal di Mesir, mereka meminjam barang perhiasan orang Mesir kerana hendak memakainya pada hari perayaan.
Tetapi sebelum mereka menyambut hari raya itu, mereka diperintahkan keluar dari Mesir bersama Nabi Musa untuk melepaskan diri daripada kekejaman Firaun, dengan tidak sempat memulangkan barang itu kepada tuannya, lalu mereka membawanya bersama.
Ketika mereka bersungut dan resah gelisah kerana Nabi Musa lambat kembali dari Gunung Tursina, Samiri berkata kepada mereka: Kelambatan Nabi Musa ialah disebabkan kamu menyimpan barang orang itu.
Untuk melepaskan diri daripada dosanya, campakkan dia ke dalam api. Samiri mengesyorkan demikian supaya dia dapat merosakkan agama mereka.
Kita melihat bagaimana Samiri mengaburi umat Nabi Musa dengan menakut-nakutkan dan membuat cerita karut hingga umat Nabi Musa yang dalam keadaan gelisah dan gundah gulana mempercayai propagandanya.
Kejayaan propaganda Samiri dibuktikan dengan membuat patung anak lembu supaya mereka menyembahnya.
Patung itu dibuat dengan cara mengeluarkan suaranya daripada angin yang bertiup ke dalam rongganya.
Keberkesanan propaganda itu dimulakan dengan pembohongan yang menyatakan bahawa Nabi Musa melupakan tuhannya hingga dia perlu pergi ke Gunung Tursina sedangkan tuhan itu (patung anak lembu) ada bersama mereka.
Selama beberapa hari mereka termakan oleh propaganda Samiri dan tetap menyembah patung itu walaupun diingatkan oleh Nabi Harun AS mengenai kesesatan itu.
Bahkan dengan tegas dan percaya diri, mereka menyatakan maksudnya: “Mereka menjawab: “Kami tidak sekali-kali akan meninggalkan penyembahan patung ini, (bahkan) kami akan tetap menyembahnya hingga Nabi Musa kembali kepada kami.” (Surah Taha: 91).
Begitu dahsyat pengaruh propaganda Samiri hingga kewarasan umat Nabi Musa tidak terkawal dan mempercayai semua yang dikatakan Samiri adalah benar dan bukan bohong.
Persoalan mengenai tujuan Samiri berbuat demikian diperjelaskan al-Quran dalam ayat bermaksud: “Dia menjawab: “Aku mengetahui dan menyedari apa yang tidak diketahui oleh mereka, lalu aku mengambil segenggam daripada kesan jejak Rasul itu, kemudian aku mencampakkannya; dan demikianlah aku dihasut oleh hawa nafsuku.” (Surah Taha: 96).
Dalam ulasan Abdullah Basmeh, mengikut kebanyakan ahli tafsir, ‘Rasul’ itu ialah Jibril AS.
Sebagai satu cubaan yang menimpa kaum Bani Israil, Samiri melihat Jibril ketika datang membawa wahyu kepada Nabi Musa lalu dilihatnya tanah bekas kaki kuda yang ditunggang oleh Jibril menjadi hijau.
Dia pun mengambil segenggam daripada tanah itu kerana terlintas di hatinya bahawa tanah itu ada khasiatnya.
Ketika ketiadaan Nabi Musa, timbullah cita-citanya hendak menghidupkan agama menyembah lembu, lalu disuruhnya Bani Israil melebur barang perhiasan yang ada dalam simpanan mereka.
Dia kemudian menabur tanah itu kepada leburan itu menyebabkan dengan serta-merta menjadi (patung) seekor anak lembu yang bersuara.
Bagaimanapun, ada juga yang mengatakan ‘Rasul’ itu adalah Nabi Musa.
Sebagai hukuman dan balasan terhadap propaganda yang tidak masuk akal itu, akhirnya Samiri dikutuk Allah dengan firman-Nya yang bermaksud: “Nabi Musa berkata kepada Samiri: ‘Jika demikian, pergilah, (engkau adalah diusir dan dipulaukan), kerana sesungguhnya telah ditetapkan bagimu akan berkata dalam kehidupan dunia ini: ‘Jangan sentuh aku,” dan sesungguhnya telah dijanjikan untukmu satu balasan akhirat yang engkau tidak sekali-kali akan terlepas daripadanya.” (Surah Taha: 97)
Pada akhir hayatnya dalam buangan, pemulauan serta penghinaan, Samiri ditimpa penyakit berjangkit hingga dia tidak mahu disentuh orang dan orang ramai takut menghampirinya.
Demikian kisah Samiri dalam al-Quran yang mungkin boleh kita ambil pengajarannya untuk memahami makna peristiwa baling kasut baru-baru ini. Wallahu a'lam."
Persamaan dua kisah ini ialah watak utamanya (Bush dan Samiri) menggunakan kata-kata atau propaganda untuk menghasut dan mengaburi mata setiap pendengar mereka supaya mempercayai setiap yang mereka katakan. Pengajarannya, propaganda dan perbuatan jahat hanya akan memusnahkan diri sendiri.
0 comments:
Post a Comment