BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, December 15, 2008

::Cinta Tiruan::

Dengan ilmu,hidup menjadi mudah
Dengan iman,hidup menjadi terarah
Dengan cinta,hidup menjadi indah

Cinta..Ada yang menyebutnya pyaar,ada juga yang menyebutnya hubb atau pun amorr.Apa jua namanya,cinta adalah suatu magis.Cinta menjadi suatu wasilah untuk makhluk mendekatkan diri kepada Allah.

Mungkin ada yang tertanya-tanya,mengapa sekali lagi saya menukilkan tentang cinta.Adakah saya dilamun cinta atau saya berniat menjadi doktor cinta?Kedua-dua sebab ditolak bulat2.Akhir-akhir ini banyak program yang berkaitan dengan cinta dianjurkan di kampus saya.Jadi,tidak salah kiranya saya ingin berkongsi ilmu supaya kita semua mendapat manfaat daripadanya,lebih2 lagi bagi saya yang menyampaikannya.

Kembali kepada topik kita.Cinta adalah naluri atau keinginan manusia.Hal ini telah dinyatakan dalam firman Allah yang bermaksud :

"Dan di antara tanda-tanda (kebesaran-Nya) ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri,agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya,dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang.Sungguh,pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir."(ar-Rum:21)

Cuba kita sama-sama renungkan kejadian Allah.Allah jadikan kita dua mata dan dua telinga,tetapi hanya satu hati.Mengapa?Hal ini kerana akan hadir satu lagi hati yang akan melengkapkannya menjadi dua.Hasilnya,ketenangan dan kedamaian akan tercapai.Cinta adalah anugerah dan ia akan hadir tanpa diundang.Cinta tidak akan datang apabila dicari dan tidak jua datang apabila hendak memberi.Cinta juga bagaikan api yang dingin.Apabila ditambah bara,maka akan hangatlah ia.Cinta juga diibaratkan sebagai perhiasan seperti mana firman Allah yang bermaksud :

"Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diinginkan,berupa perempuan-perempuan,anak-anak,harta benda yang bertumpuk dalam bentuk emas dan perak,kuda pilihan,haiwan ternak dan sawah ladang.Itulah kesenangan hidup di dunia,dan di sisi Allah lah tempat kembali yang baik."(ali Imran:14)

Cinta dinisbahkan kepada perhiasan kerana dalam berhias ada empat syarat seperti berikut ;

i - jangan terlalu kurang
ii - jangan berlebih-lebih
iii - sesuai dengan masa
iv - kena pada tempatnya

Sahabat yang dikasihi,sebenarnya perlu ada ilmu dan iman dalam cinta.Dua perkara inilah yang akan menuntun kita untuk melayari bahtera cinta dengan betul.Biar bagaimana kita mencintai pasangan kita (yang halal sahaja) atau makhluk Allah secara amnya,harus diingat bahawa cinta sejati dan unggul tetap kembali kepada Allah.Sebagai seorang Islam,persoalan cinta kepada Pencipta telah dinyatakan dalam al-Quran sebagaimana firman Allah yang bermaksud :

"Dan di antara manusia ada orang yang menyembah Tuhan selain Allah sebagai tandingan,yang mereka cintai seperti mencintai Allah.Adapun orang-orang yang beriman sangat besar cintanya kepada Allah."(al-Baqarah:165)

Jelas daripada ayat di atas,cinta orang mukmin sebenarnya hanya kepada Allah dan Rasul-Nya,tetapi ia bukan bermakna cinta antara manusia terutama antara lelaki dan perempuan dilarang agama.Rasulullah pernah bertanya kepada Saidina Umar bin al-Khatab,siapakah orang yang dia kasihi,sambil menyatakan bahawa baginda Rasulullah sbg orang yang paling dikasihi termasuk anak isterinya,kemudian beliau ditegur oleh baginda dengan sabdanya :
Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga dia mencintai aku lebih daripada mencintai kedua orang tuanya,anak isterinya dan seluruh manusia amnya.

Seringkali dalam kehidupan seharian,kita disogok dengan slogan seakan-akan keagungan cinta kepada manusia itu adalah segala-galanya.Ia disajikan kepada kita menerusi media massa seperti televisyen dan bahan bacaan.Dengan pendedahan yang berterusan,pasti anak-anak muda khususnya mudah terpengaruh.Pada masa yang sama,kebanyakan anak-anak tidak ada asuhan dalam konteks pembinaan akidah bagi merasai atau memberi kasih sayang dalam erti kata mentaati Pencipta.Oleh yang demikian,tidak dapat tidak keluarga amat berperanan dalam membimbing anak-anak untuk menyalurkan cinta ke jalan yang betul.Selain itu,ibu bapa perlu memantapkan akidah anak-anak serta menerapkan pendidikan awal seperti mendidik anak mereka supaya mempunyai sifat malu.Apabila ibu bapa telah memainkan peranan,terpulang pula pada si empunya diri.Kita seharusnya tidak terlalu mengikut hati,perasaan serta gelojak nafsu serta perlu faham kesan apabila cinta tidak disalurkan dengan baik.Media massa dan pucuk pimpinan juga sepatutnya mengambil bahagian dalam hal ini.

Rasulullah s.a.w bersabda,"Akan datang waktunya umatku akan mencintai lima,lupa kepada yang lima:

1. Mereka cinta kepada dunia,tetapi lupa kepada akhirat

2. Mereka cinta kepada harta benda,tetapi lupa kepada hisab.

3. Mereka cinta kepada makhluk,tetapi lupa kepada al-Khaliq.

4. Mereka cinta kepada dosa,tetapi lupa untuk bertaubat.

5. Mereka cinta kepada gedung-gedung mewah,tetapi lupa kepada kubur.

Akhir kalam,fikir-fikirkanlah..Hendak dibawa ke mana cinta yang kita ada sekarang??Andai ada yakin cinta itu membawa ke syurga,maka teruskanlah.Tetapi,jika sebaliknya saya rasa anda tahu apa yang perlu dilakukan.

0 comments: