BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, September 1, 2008

Sifat MUSLIM

Daripada Abdullah ibn Umar r.a.,katanya : Rasulullah s.a.w. bersabda,
”Orang Islam adalah saudara kepada orang Islam,ia tidak menzaliminya dan tidak mendedahkannya kepada kebinasaan.Siapa yang menolong hajat saudaranya,Allah akan menolong hajatnya,dan siapa yang melepaskan kedukaan seorang Islam,Allah akan melepaskannya daripada kedukaan pada Hari Kiamat.Siapa yang menutup keaiban seorang Islam,Allah akan menutup keaibannya pada Hari Kiamat.”

(Riwayat Bukhari,Muslim,Abu Daud dan Nasa’i)

Hadis ini saya pelajari sewaktu di Tingkatan 2 dan ia memberi kesan yang sangat mendalam bagi saya terutamanya dalam perhubungan sesama manusia.Seringkali saya bermuhasabah diri..Adakah saya seorang muslim yang baik?Adakah saya menyempurnakan hak saudara yang seaqidah dengan saya?

Perkataan muslim(orang Islam) yang dinyatakan dalam hadis ini bukannya merujuk kepada Islam dari aspek zahir semata-mata,setakat mengucapkan kalimat syahadah tanpa disertai dengan hati dan amalan,ataupun Islam yang dimiliki secara warisan.Muslim yang sebenar adalah seorang Mukmin kerana orang-orang Mukmin sahaja yang sanggup menganggap seorang muslim yang lain itu sebagai saudaranya,sebagaimana firman Allah s.w.t.,:

Sesungguhnya orang mukmin adalah bersaudara..(49:10)

Adapun maksud bersaudara di sini adalah seperti perhubungan saudara mengikut keturunan,iaitu suatu bentuk perhubungan yang kuat,tanpa kezaliman dan pengkhianatan.Bentuk perhubungan seumpama ini adalah hasil daripada iman yang mantap yang telah membuahkan tingkah laku ke arah jalan yang diredhai Allah.

Dalam hadis ini telah dinyatakan kriteria-kriteria seorang muslim sejati.Mari bersama kita rungkai satu-persatu,mudah-mudahan kita semua berusaha melengkapkan diri masing-masing menjadi seorang MUSLIM MUKMIN.

i) Menolong hajat saudaranya ~ berusaha & bekerjasama utk kepentingan dan kebajikan,samaada melibatkan kepentingan peribadi dan lebih-lebih lagi yang melibatkan orang ramai.Mungkin secara teori perkara ini amat mudah,tetapi cuba bayangkan sewaktu kita ditimpa musibah,ada sahabat yang meminta pertolongan daripada kita.Inilah masanya keimanan kita teruji.Sebenarnya,timbang tara yang betul akan menguntungkan kedua-dua belah pihak.Ini kerana Allah telah menjanjikan balasan yang baik bagi mereka yang berusaha menunaikan hajat saudaranya.Nah,apa tunggu lagi..Yakinlah dengan janji Ar-Rahim..



ii) Melepaskan kesusahan dan kedukaan saudaranya ~ berusaha dengan segala daya untuk menggembirakan dan menyenangkan saudaranya.Perkara ini bukan cukup dengan berdoa sahaja,tetapi merangkumi perbuatan.Alangkah hebatnya ganjaran Allah,kita menghilangkan kedukaan saudara kita di dunia,akan hilang kedukaan kita di Yaumus Sa’ah kelak.


iii) Menutup keaiban,keburukan dan kejahatan ~ Sudah menjadi lumrah dewasa ini apabila keaiban orang seringkali dihebahkan,sedangkan walau sebesar mana pun kejahatan atau keaiban itu,perkara tersebut mestilah ditutup melainkan atas sebab-sebab tertentu.Contohnya apabila pendedahan kejahatan itu mampu memberi manfaat dan peringatan buat masyarakat.Sebelum bertindak,fikir-fikirkanlah.Cuba letakkan diri kita dalam kasut orang itu,pasti kita akan sakit hati apabila keaiban kita dijadikan bahan cerita.


Tiada kata yang dapat mengungkapkan betapa bertuahnya kita semua dilahirkan sebagai seorang Muslim.Walaubagaimanapun,janganlah Islam kita hanya pada nama semata-mata.Sambutlah seruan,mantapkan iman..Moga kita menjadi Muslim dalam erti kata yang sebenar,iaitu MUSLIM MUKMIN..amiin..

*dipetik dr buku 40 hadis pilihan(Ust Hj Abdullah Bin Hj Abd Wahab)

0 comments: