Pada minggu yang lalu,saya menerima enam berita kematian termasuk bapa kepada tiga sahabat saya (pelajar USM).Perkara ini membuatkan saya berfikir sejenak yang ajal datang tanpa mengira waktu dan tidak dapat dihindari walau dengan apa cara sekali pun.Tidak kira samaada kita bersedia atau tidak menerima kunjungan istimewa malaikat Izrail,kematian adalah sesuatu yang pasti sebagaimana firman Allah s.w.t ;
”Tiap-tiap yang bernyawa (bernafas) pasti akan merasai maut.” (Surah Ali Imran:185)
Bersediakah saya??
Serta merta perasaan takut menyelubungi diri apabila mengenangkan betapa banyaknya dosa yang ditanggung diri ini dan betapa saya tidak bersedia menghadap kematian.Hati saya segera merintih mengharapkan keampunan Ilahi.Baru saya tersedar bahawa saya tidak punya banyak masa lagi..Hidup di dunia ini hanya sementara dan tidak kekal.Bahkan kehidupan yang sementara ini sebenarnya boleh diibaratkan sebagai satu transit kepada kita semua untuk menyiapkan diri menghadap al-Malik kelak.Pada hakikatnya,dunia ini tempat untuk beramal untuk sekian waktu yang telah ditetapkan,bukannya tempat untuk bersenang-senang.Peluang yang diberikan ini seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin supaya beroleh darjat yang lebih tinggi dan abadi di sisi Allah pada hari kemudian kelak.
Rasulullah s.a.w bersabda ; ”Gunakanlah masa hidup engkau bagi keperluan masa mati engkau.”
Imam Shafie pernah berkata bahawa tanggungjawab yang kita galas melebihi masa yang kita ada.Oleh yang demikian,wajarlah kita menggunakan setiap detik waktu yang kita ada dengan perkara-perkara yang membawa kebaikan.Jangan sesekali bertangguh melakukan amal kebaikan,apatah lagi apabila ingin memohon keampunan Allah.Sebagai seorang insan biasa,kita tidak terlepas daripada melakukan dosa.Jadi,lazimkanlah lisan dengan istighfar dan ringan-ringankan fizikal kita untuk menunaikan solat sunat taubat.
Jadilah orang yang pintar..
Berkata Ibnu Omar r.a : Pada suatu hari aku datang berjumpa Rasulullah s.a.w yang sedang berada ditengah para sahabat yang terkemuka. Lalu berdiri salah seorang sahabat dari Ansar bertanya Rasulullah:-`Ya Rasulullah ! Siapakah yang paling pintar dan siapa pula yang paling cerdas akalnya?’Rasulullah menjawab:-`Yang paling cerdas dan yang paling pintar ialah orang yang paling banyak mengingati mati dan yang banyak bekal menghadapi mati. Merekalah yang paling pintar dan yang paling cerdas kerana mereka mendapat kemuliaan di dunia dan kehormatan di akhirat.’
Aneh bukan apabila Rasulullah s.a.w menyatakan yang orang yang pintar adalah orang yang banyak mengingati mati?Hakikatnya kerana golongan ini sentiasa berada dalam keadaan bersedia dan meletakkan sepenuh pengharapan kepada Ilahi selain benar-benar jelas akan tujuan hidup.Orang yang memahami erti kematian sebenarnya juga adalah orang yang mengerti hakikat hidup.
Oleh yang demikian,didiklah minda kita supaya selalu mengingati kematian..Tidak dinafikan memanglah mati merupakan suatu perkara yang mengerikan,tidak menarik dan membuat bulu roma kita meremang bahkan membuat kita kecut perut.Mahu tidak mahu kita pasti menghadapinya..Dan untuk beroleh kebaikan hidup ’di sana’,kita perlu bersedia dari saat ini lagi..InsyaAllah...
1 comments:
kekasih org mu'min itu ialah Allah. seorang mu'min kangen untuk brtemu kekasihnya.syarat untuk bertemu Kekasih yg Maha Agung itu ialah dgn MATI.maka bersedialah mengahadapi kematian...insyaALLAH....
Post a Comment