BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, June 16, 2009

Biar berbuih mulut

Ini merupakan minggu terakhir saya mencurah sedikit bakti di Rumah Penyayang Tun Abdul Razak sebelum kembali ke USM minggu hadapan.Kalau diikutkan,saya tak perlu datang lagi,tetapi mengenangkan yang saya berjanji untuk mengadakan sesi intensif untuk subjek Sains dan Matematik,maka saya gagahi juga diri untuk hadir.Walaubagaimanapun,saya amat kecewa dengan adik-adik di sana.Mereka seolah-olah langsung tidak menghargai usaha orang lain.Dengan wajah yang langsung tiada minat untuk belajar dan mulut asyik mengucapkan perkataan 'malas',bisa saja meruntuhkan semangat saya untuk menyampaikan ilmu.Saya buat-buat tak nampak dan pekakkan telinga kerana masih ada dua tiga orang yang khusyuk menadah ilmu.


Akhirnya,apabila selesai sesi untuk malam itu,saya pun buka mulut.Rasanya saya sudah pernah mengatakan perkara itu,tapi saya rasa saya perlu mengulanginya lagi.Walau pedih untuk mereka menerima ayat-ayat saya,tetapi itulah hakikatnya.Mereka seperti tiada kesedaran untuk belajar dan menghargai setiap nikmat yang diberi oleh Allah,sedangkan masih ramai yang malang di luar sana.Saya tidak nafikan bahawa mereka ada kekurangan dari aspek kekeluargaan,tetapi saya rasa itu bukan alasan.Pada hemat saya,kehidupan mereka boleh dikatakan mewah jika hendak dibandingkan dengan beberapa Rumah Anak-anak Yatim yang pernah saya kunjungi di Kelantan.



Saya mengingatkan mereka,biar berbuih mulut saya atau Ibu (penyelia) atau Ma (warden) atau siapa sahaja menasihati mereka,tetapi jika tiada kehendak atau inisiatif untuk mengubah diri,mereka tidak akan ke mana.Allah pun telah mengatakan dalam kitab al-Quran bahawa nasib sesuatu kaum tidak akan berubah melainkan mereka sendiri mengubahnya.Nah,bagaimana lagi caranya kalau bukan datang dari diri sendiri?Saya mungkin bersikap tidak adil kerana menyalahkan mereka sedangkan saya tidak duduk dalam situasi mereka.Hakikatnya,saya pun seorang anak yatim,tetapi saya bertuah sedikit kerana tinggal bersama keluarga.



Setiap insan di dunia ini Allah telah tentukan nasib dan takdirnya.Kita semua juga tidak terlepas dari ditimpa ujian serta musibah,namun Allah punya rahsia tersendiri atas semua ujian yang diberikan.Kita sebagai hamba harus menerima dengan hati terbuka kerana itu memang resam dunia.Jika diteliti,Allah datangkan musibah atau ujian sebagai didikan dan untuk mematangkan diri kita.Analoginya mudah,ketika belajar,kita perlu menghadapi peperiksaan.Dan dari setiap peperiksaan yang kita duduki,ada ketikanya kita gagal atau tersilap langkah.Di sinilah kita belajar dari kesilapan untuk pelajaran di masa hadapan.



Apabila Allah datangkan ujian,itu maknanya Allah sayangkan hambanya bukan benci.Maka,beruntunglah hamba yang tidak sunyi daripada mehnah.Kesimpulannya,kita perlu kembali kepada Allah tika dibelenggu masalah atau pun enak diulit kesenangan.Jangan segan silu merayu padaNya,disamping bangkit berusaha mencari jalan penyelesaian.Dan yang paling penting,jangan lupa bersyukur dalam apa jua keadaan kerana terlalu banyak nikmat yang kita perolehi jika hendak dibandingkan dengan ujian yang menimpa.

1 comments:

rafaa' said...

memang itu antara caranya.puas dah kita bercerita tntg kesusahan org lain,die org x ambil pusing gak..sampai menitis air mata sbb terlalu sedih tgk keadaan adik2 tu yg masih xmahu tgk org di bawah.