BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, June 21, 2009

*homemade chocolate cake*

yummy..isnt it??

Tuesday, June 16, 2009

Hari gembira~

Pagi ini pelik melihat ibu yang seorang senyum sendirian dan begitu semangat melakukan pelbagai kerja.Hati mahu bertanya,tetapi saya diamkan diri dahulu.Biasanya,mak akan menceritakan apa sahaja yang mencuit perasaannya,tidak kira perkara gembira atau sebaliknya.Ketika saya melayan Nawal di dapur,mak meluru ke arah saya.Dan tidak semena-mena mengatakan yang beliau ingin menunaikan sujud syukur kerana ada dua berita gembira hari ini.Guess what?

Abang sulung saya yang merupakan inspirasi kami berjaya dalam temuduganya.Beliau ditawarkan biasiswa Kementerian Pelajaran untuk menyambung pengajian dalam peringkat Phd.Salah seorang abang ipar saya juga berjaya dalam temuduga yang sama,tetapi untuk menyambung pengajian dalam peringkat Master.Alhamdulillah,itu sahaja kalimat yang terkeluar dari mulutku.Kata mak,tidak ada yang menggembirakan hatinya selain apabila melihat kejayaan anak-anak.

Terima kasih Allah atas nikmat ini..

Biar berbuih mulut

Ini merupakan minggu terakhir saya mencurah sedikit bakti di Rumah Penyayang Tun Abdul Razak sebelum kembali ke USM minggu hadapan.Kalau diikutkan,saya tak perlu datang lagi,tetapi mengenangkan yang saya berjanji untuk mengadakan sesi intensif untuk subjek Sains dan Matematik,maka saya gagahi juga diri untuk hadir.Walaubagaimanapun,saya amat kecewa dengan adik-adik di sana.Mereka seolah-olah langsung tidak menghargai usaha orang lain.Dengan wajah yang langsung tiada minat untuk belajar dan mulut asyik mengucapkan perkataan 'malas',bisa saja meruntuhkan semangat saya untuk menyampaikan ilmu.Saya buat-buat tak nampak dan pekakkan telinga kerana masih ada dua tiga orang yang khusyuk menadah ilmu.


Akhirnya,apabila selesai sesi untuk malam itu,saya pun buka mulut.Rasanya saya sudah pernah mengatakan perkara itu,tapi saya rasa saya perlu mengulanginya lagi.Walau pedih untuk mereka menerima ayat-ayat saya,tetapi itulah hakikatnya.Mereka seperti tiada kesedaran untuk belajar dan menghargai setiap nikmat yang diberi oleh Allah,sedangkan masih ramai yang malang di luar sana.Saya tidak nafikan bahawa mereka ada kekurangan dari aspek kekeluargaan,tetapi saya rasa itu bukan alasan.Pada hemat saya,kehidupan mereka boleh dikatakan mewah jika hendak dibandingkan dengan beberapa Rumah Anak-anak Yatim yang pernah saya kunjungi di Kelantan.



Saya mengingatkan mereka,biar berbuih mulut saya atau Ibu (penyelia) atau Ma (warden) atau siapa sahaja menasihati mereka,tetapi jika tiada kehendak atau inisiatif untuk mengubah diri,mereka tidak akan ke mana.Allah pun telah mengatakan dalam kitab al-Quran bahawa nasib sesuatu kaum tidak akan berubah melainkan mereka sendiri mengubahnya.Nah,bagaimana lagi caranya kalau bukan datang dari diri sendiri?Saya mungkin bersikap tidak adil kerana menyalahkan mereka sedangkan saya tidak duduk dalam situasi mereka.Hakikatnya,saya pun seorang anak yatim,tetapi saya bertuah sedikit kerana tinggal bersama keluarga.



Setiap insan di dunia ini Allah telah tentukan nasib dan takdirnya.Kita semua juga tidak terlepas dari ditimpa ujian serta musibah,namun Allah punya rahsia tersendiri atas semua ujian yang diberikan.Kita sebagai hamba harus menerima dengan hati terbuka kerana itu memang resam dunia.Jika diteliti,Allah datangkan musibah atau ujian sebagai didikan dan untuk mematangkan diri kita.Analoginya mudah,ketika belajar,kita perlu menghadapi peperiksaan.Dan dari setiap peperiksaan yang kita duduki,ada ketikanya kita gagal atau tersilap langkah.Di sinilah kita belajar dari kesilapan untuk pelajaran di masa hadapan.



Apabila Allah datangkan ujian,itu maknanya Allah sayangkan hambanya bukan benci.Maka,beruntunglah hamba yang tidak sunyi daripada mehnah.Kesimpulannya,kita perlu kembali kepada Allah tika dibelenggu masalah atau pun enak diulit kesenangan.Jangan segan silu merayu padaNya,disamping bangkit berusaha mencari jalan penyelesaian.Dan yang paling penting,jangan lupa bersyukur dalam apa jua keadaan kerana terlalu banyak nikmat yang kita perolehi jika hendak dibandingkan dengan ujian yang menimpa.

Monday, June 15, 2009

Satu taklifan..


Seringkali diri ini menyalahkan masa yang tidak mencukupi,sedangkan itu kelemahan sendiri kerana tidak pandai mengurus setiap detik yang dikurniakan.Cuti semester yang panjang semakin hampir kepada penghujungnya.Namun,masih banyak tugasan yang belum dibereskan.Memang betul-betul bercuti nampaknya.Hari ini barulah saya bersemangat duduk di kerusi menghadap laptop untuk settlekan tugasan yang diamanahkan.Sebenarnya,bukanlah sukar sangat..Tetapi,hendak mula yang susahnya.Alhamdulillah,Yang Maha Kuasa menggerakkan hati dan memberikan kudrat untuk melaksanakannya.

Selalu juga telintas dibenak fikiranku,bukan mudah memikul amanah.Apatah lagi jika berkaitan dengan membangunkan agama.Inilah yang menjadi halangan paling besar saat menerima jawatan ajk tertinggi Rakan Masjid USMKK.Rakan Masjid yang dilancarkan pada 18 Januari 2009 merupakan satu jawatankuasa di bawah naungan Pusat Islam USMKK yang bertindak sebagai platform dalam penganjuran sebarang aktiviti dakwah dan kerohanian kampus.Uniknya,ia melibatkan pelajar dan juga staf.Pada awalnya,seorang sahabat meminta keizinan untuk mencalonkan nama saya sebagai Setiausaha.Walau berat hati untuk membenarkan,namun entah bagaimana saya menjawab 'Ya'.Kemudian,dalam kesibukan menyediakan diri untuk peperiksaan Selanjar 3 dan Profesional 2,saya dikhabarkan bahawa saya akan dilantik menjadi SU.Secara jujurnya,saya ingin menolak jawatan tersebut,bukan kerana memikirkan bebanan akademik.Akan tetapi,kerana amanah yang bakal dipikul bukanlah mudah.Saya seolah-olah bertanggungjawab untuk memastikan perjalanan dakwah di kampus berjalan dengan baik.Bagi saya yang punya pelbagai kelemahan ini,sudah tentu dirasakan terlalu berat.

Akhirnya,setelah menimbang baik buruk termasuk kerana termakan pujuk rayu sahabat yang seorang itu,saya menerima jawatan tersebut dengan pelbagai harapan dan misi.Hal yang demikian kerana Kampus Kesihatan masih belum mempunyai suatu persatuan rasmi untuk memantau aktiviti dakwah.Mungkin ini peluang yang Allah berikan kepada diri saya untuk menyumbang sesuatu hendaknya.


Carta organisasi Rakan Masjid USMKK peringkat staf

Carta organisasi Rakan Masjid USMKK peringkat pelajar


Dengan penubuhan Rakan Masjid,besar harapan agar tugas dakwah akan disampaikan sehingga ke peringkat akar umbi serta memberi impak yang besar buat segenap warga kampus khasnya serta masyarakat luar amnya.Insyaallah pada akhir Julai nanti,satu lagi projek akan dijalankan di bawah naungan Rakan Masjid khusus untuk golongan Hawa.Istimewanya,kami akan cuba sedaya upaya untuk menggalakkan penglibatan bukan Muslim dalam projek dan program yang dianjurkan oleh Rakan Masjid.Saya juga memohon kepada diri saya sendiri serta semua ahli jawatankuasa untuk membetulkan niat di samping berkhidmat sebaik mungkin untk kemaslahatan bersama.Mari sama-sama kita ambil peluang ini untuk mengutip sebanyak mungkin pengalaman dan ilmu serta mengumpul saham sebagai persediaan di akhirat kelak.


Firman Allah s.w.t yang bermaksud :

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.Dia mendapat (pahala) dari (kebajikan) yang dikerjakannya dan dia mendapat (siksa) dari (kejahatan) yang diperbuatnya." (al-Baqarah:286)