BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, November 21, 2008

Ada apa dengan cinta?

Tatkala pedih dalam kesakitan,rasa cinta mampu mengurangkannya.Tatkala kelaparan,rasa cinta mampu memberikan kekuatan.Tatkala resah digelut masalah,rasa cinta membolehkan nafas ditarik lega.Itulah kekuatan cinta.Suatu perasaan halus yang telah dicampakkan dalam hati setiap makhluk Tuhan.Kadang-kadang perasaan ini berkampung lama,atau sekadar singgah dan pergi.Cinta merupakan suatu mekanisme untuk berasa kuat tatkala lemah,kenyang tatkala lapar,segar tatkala mengantuk dan lain-lain yang seumpama dengannya.Oleh yang demikian,cinta tidak boleh dipandang enteng kerana kehebatan kuasanya.Bahkan,dalam penciptaan langit dan bumi serta isinya juga tersembunyi nilai cinta al-Khaliq buat hambanya.

Jika hendak berbicara tentang persoalan cinta,pasti seribu satu pendapat dan pandangan akan diterima.Ini kerana cinta adalah suatu perkara yang subjektif.Tiada yang dapat merungkainya secara tepat melainkan jika telah pun merasai penangannya.Skop cinta juga begitu luas sekali.Ada cinta ibu bapa kepada anak dan sebaliknya,cinta antara sahabat,cinta antara lelaki dan perempuan dan cinta teragung adalah cinta seorang hamba kepada PEMILIK CINTA.

Walau apa pun jua,tidak dapat dinafikan bahawa cinta merupakan fitrah semula jadi yang murni sifatnya.Biasanya seseorang yang dibekali rasa cinta mampu berjalan jauh,tetapi seseorang yg bergelut cinta juga boleh menjadi teramat lemah dan hilang pertimbangan.Hal yang demikian terjadi apabila cinta diletakkan pada tempat yang tidak sepatutnya atau disalah guna.Analogi yang cukup mudah,ia umpama duit atau mata pisau,jika digunakan untuk kebaikan,maka baiklah natijahnya.Sebaliknya jika digunakan untuk keburukan,maka buruklah hasilnya.Cinta adalah nikmat Tuhan yang tidak ternilai kehebatannya.Sebab itu Allah mengajarkan bahawa cinta yang paling utama adalah cinta seorang hamba kepada Ilahi kerana cinta yang sedemikian akan menyelamatkan hamba tersebut daripada fitnah cinta sesama makhluk.

Dewasa ini,cinta semakin teruk dicabuli orang perlakuan murahan umat manusia.Cinta akhir zaman telah dicemari dengan nafsu kehaiwanan yang melampau.Mata dan hati insani telah dikaburi dengan cinta sesama makhluk yang bersifat sementara,sedangkan pada hakikatnya tujuan hidup adalah untuk mengejar CINTA yang bersifat hakiki dan abadi.Inilah penyakit yang kian menular dalam masyarakat kita pada hari ini.Kita dihidangkan dengan pelbagai kosmetik dunia yang sebenarnya hanya membawa kita ke arah murka Allah..Na’udzubillah…

Sedarlah wahai umat manusia..Cinta suci tetap wujud.Orang yang berjuang melawan hawa nafsu kelak akan menerima kalungan cinta suci tersebut,tetapi orang yang enak dalam cinta yang bersifat sementara akan dipersoal di akhirat nanti.Untuk menerima kalungan tersebut,kita perlu memantapkan jati diri,mengukuhkan dinding keimanan,sentiasa melazimi lisan dengan zikrullah,berpegang pada Kitabulllah dan sunnah Rasulullah s.a.w.Dan sudah pasti dalam perjalanan menjejaki cinta sejati,laluan berliku-liku dan penuh ranjau perlu dihadapi.Namun,janji Allah kepada hambanya tidak pernah dimungkiri.Selangkah kita pergi kepadanya,seribu langkah Allah hampir kepada kita.

Hendaknya kolam hati kita terus subur dengan cinta PEMBERI NIKMAT kerana cinta-Nya tiada batasan.Kelak pasti akan menyusul pula cinta yang lahir hasil daripada sama-sama mencintai-Nya atau jalan-jalan untuk meraih cinta-Nya..


~Selamat berjaya mengejar CINTA yang satu itu~

0 comments: